Sekolah Menengah Islam Hira beroperasi secara berasrama penuh sejak berpindah ke tapak Jeram. Semua pelajar diwajibkan tinggal di asrama dan mengikuti semua program yang diatur oleh pihak sekolah. Selain daripada mempelajari konstruk bidang ilmu, mereka juga dididik dan ditaksirkan di dalam satu sistem yang dikenali sebagai Sistem Pentaksiran Pelajar MUSLEH (SPPM). di mana setiap pelajar akan diperkembangan potensi diri atau konstruk dalam semua bidang secara seimbang dan berterusan.
Konstruk-konstruk SPPM merangkumi lima bidang iaitu Ilmu, Ibadah, Iman, Kemampuan dan Akhlak. Konstruk bidang ilmu dibangunkan melalui matapelajaran KBSM dan MUSLEH secara bersepadu dan ditaksirkan dalam bentuk penulisan, amali dan lisan. Sementara untuk konstruk bidang ibadah, iman dan akhlak, pelaksanaan pentaksiran berjalan dimana, para pelajardisusun dalam kumpulan-kumpulan kecil dan dibimbing oleh mentor yang terdiri daripada guru-guru dan para pelajar yang terpilih untuk membimbing pelajar supaya mempunyai kekuatan kerohanian dan fikrah Islam yang mantap.
Bagi membina peribadi pelajar yang mempunyai kekuatan fizikal dan mental para pelajar diwajibkan mengikuti program Pergerakan Syabab Fatayat Malaysia atau kini diletakkan di bawah Kadet Remaja Sekolah (KRS) MUSLEH, iaitu sebuah pasukan uniform bersepadu yang menitikberatkan pembangunan aspek kepimpinan, disiplin dan ketrampilan serta tahan lasak. Program yang biasa dijalankan ialah perjumpaan mingguan, perkhemahan berkala dan perkhemahan tahunan. Selain cuti para pelajar juga dilibatkan dengan aktiviti luar yang dianjurkan oleh MUSLEH dan KPM.
Hafazan dan tilawah Al-Quran merupakan salah satu aspek yang diberi penekanan. Bagi pelajar yang berminat dan layak dalam menghafaz Al-Quran, mereka boleh mengikuti pengajian hafazan Al-Quran secara khusus di Mahaad Tahfiz Al-Quran selama dua (2) tahun samada selepas UPSR atau PMR kemudian mereka akan menyambung kembali pendidikan seterusnya di SMIH.
Para pelajar juga dilibatkan dalam aktiviti persatuan dan kelab di mana banyak persatuan dan kelab ditubuhkan meliputi subjek-subjek dan bidang-bidang yang boleh membantu perkembangan potensi pelajar seprti kemahiran usahawan dan rekacipta serta seni bela diri. tidak ketinggalan juga dalam bidang sukan dan permainan seperti bolasepak, bola jaring, ping pong, badminton dan bola keranjang. Antara acara tetap ialah sukan tahunan dan penyertaan dalam perlawanan persahabatan.
Kesepaduan dalam pembangunan lima bidang konstruk ini menghasilkan pelajar yang serba boleh dalam pelbagai bidang profesional dan mampu memikul tanggungjawab kepimpinan dalam organisasi dan masyarakat.
No comments:
Post a Comment